COVID-19: Sektor Pertanian Perlukan Pelaburan Lebih Besar | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» NEWS » COVID-19: Sektor pertanian perlukan pelaburan lebih besar

COVID-19: Sektor pertanian perlukan pelaburan lebih besar

KUALA LUMPUR: Sektor pertanian perlu diberi keutamaan demi memastikan kelangsungan dan jaminan terhadap keselamatan rantaian makanan dalam berdepan dengan pasca COVID-19.

 

Pembantu Felo Kanan (Keselamatan Makanan) Kolej Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura, Prof Dr Paul Teng, berkata sudah tiba masanya lebih banyak pelaburan dilakukan dalam sektor pertanian yang memperkasakan petani, sekali gus memanfaatkan pengguna.

 

 

Katanya, COVID-19 mendesak semua pihak mengubah cara pemikiran mengenai keselamatan makanan dengan tidak hanya tertumpu kepada petani, sebaliknya merangkumi keseluruhan rantaian.

 

"Sektor pertanian perlu diberi keutamaan. Kita lihat pada awal wabak COVID-19, pertanian tidak dibenar beroperasi ketika krisis.

 

"Namun apabila ia menjadi parah, kita mula menyedari tindakan menghentikan pembabitan sektor pertanian akan mengganggu rantaian makanan.

 

"Kita juga melihat negara seperti India dan China mula memberi keutamaan kepada pertanian," katanya.

 

Beliau menjadi panel sesi webinar membincangkan impak COVID-19 terhadap sistem makanan yang dianjurkan Pusat Media Sains (SMC) Malaysia, Perkhidmatan

Antarabangsa Perolehan Aplikasi Agri-bioteknologi (ISAAA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

 

Selain Dr Teng, panelis lain ialah Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM), Prof Madya Dr Shaufique Fahmi Ahmad Sidique dan Pengasas bersama Eats, Shoots & Roots, Shao-Lyn Low.

 

Dr Teng berkata, COVID-19 membuka mata orang ramai mengenai keperluan negara bersiap sedia menghadapi krisis makanan.

 

Menerusi kajian sebelum ini, katanya, bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian antara yang menerima peruntukan paling rendah daripada sektor awam.

 

"Ini perlu diubah dalam mengharungi pasca COVID-19 kerana dikhuatiri sektor swasta akan mengambil alih aspek itu.

 

"Inilah masanya untuk menukar cara fikiran kita dalam sistem pemerintahan sebuah negara. Walaupun, kita percaya makanan adalah penting, tetapi dalam aktiviti ekonomi, pertanian tidak dapat menandingi sektor seperti pembekalan komponen elektrik.

 

"Dalam banyak keadaan, kerajaan hanya memberi perhatian kepada sektor yang memberi keuntungan lebih tinggi.

 

"Apa yang pasti, COVID-19 tidak akan menjadi satu-satunya gangguan sistem makanan dan negara perlu bersedia memastikan bekalan makanan mencukupi manakala kelangsungan rantaian makanan terjamin," katanya.

 

Sementara itu, Dr Shaufique Fahmi berkata, definisi keselamatan makanan bukan sekadar bermaksud keupayaan menghasilkan makanan tetapi juga mencukupi bagi semua.

 

"Selain itu, ia juga harus mudah diakses, berkhasiat dan mampu dibeli oleh orang ramai, " katanya.

 

BH Online| 3 Mei 2020

Date of Input: 26/06/2020 | Updated: 26/06/2020 | zbaizura

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691075
0389432611
C1600798020