Ramai penganalisis ekonomi dan orang ramai berbincang dan berhujah berkenaan dengan prestasi setahun kerajaan PH di dalam memperbaiki taraf hidup rakyat. Sebelum membuat sebarang penilaian, kita perlu fahami terlebih dahulu apakah permasalahan utama ekonomi Malaysia dan jangka masa yang diperlukan untuk memperbaikinya.

MASALAH STRUKTUR

Peningkatan kos sara hidup yang meruncing ketika ini disebabkan oleh pertumbuhan gaji dan upah lebih perlahan berbanding peningkatan harga. Keadaan ini menyebabkan kuasa beli isi rumah menurun dan memerlukan mereka berbelanja lebih untuk mengekalkan taraf hidup.

Peningkatan kos perbelanjaan rakyat sebahagian besarnya akibat daripada peningkatan ketara harga makanan dan perumahan. Struktur pasaran yang berbentuk monopoli menjadi punca utama kepada peningkatan harga makanan dan perumahan yang tidak terkawal.

Kajian mendapati bekalan bahan mentah di sepanjang rantaian nilai pengeluaran makanan di negara ini dipengaruhi secara langsung atau tak langsung oleh beberapa firma bersaiz besar. Begitu juga dengan sektor pembinaan perumahan yang hanya dimonopoli beberapa syarikat sahaja. Lebih membimbangkan, kadar tidak keupayaan pemilikan rumah meningkat akibat daripada harga rumah yang lebih tinggi daripada pendapatan pembeli.

Struktur ekonomi juga mempengaruhi tingkat gaji dan upah. Struktur pengagihan pendapatan yang tidak seimbang menyebabkan gaji dan upah rakyat meningkat perlahan. Bagi setiap nilai ringgit keluaran dalam negeri kasar (KDNK) yang dijana, hanya sekitar 35 sen sahaja akan diterima buruh dalam bentuk gaji dan upah manakala 65 sen diterima pemilik perniagaan dalam bentuk keuntungan.

Kepincangan juga wujud di dalam pasaran buruh. Pertumbuhan ekonomi semasa tidak mencipta banyak peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan individu. Senario semasa menunjukkan ekonomi Malaysia lebih banyak mencipta peluang pekerjaan kepada kategori separuh mahir dan tidak mahir berbanding pekerja mahir.

Jelas sekali penyelesaian kos sara hidup memerlukan kepada perubahan struktur ekonomi. Struktur ekonomi yang sedia ada kurang sensitif dan mesra rakyat yang mengakibatkan dasar kerajaan tidak efektif. Misalnya, penghapusan GST tidak memberi kesan yang signifikan kepada penurunan harga barangan.

ADAKAH USAHA MENGUBAH STRUKTUR DILAKUKAN?

Kita dapat lihat bahawa langkah-langkah pemulihan ekonomi telah dilakukan sejak dari hari pertama kerajaan PH memerintah. Usaha-usaha yang dilalukan terarah kepada tiga aspek iaitu mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan baharu, mengutamakan pengagihan pendapatan dan melaksanakan reformasi institusi. Lebih jelas lagi, semua usaha-usaha tersebut dirangkum di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11)

Kaedah perlaksanaan agenda reformasi ekonomi ini lebih bersifat top-down, iaitu fokus terarah kepada aspek ekonomi makro.

KEBERKESANAN JANGKA PANJANG

Amat penting untuk rakyat fahami bahawa perubahan struktur ekonomi yang bersifat makro ini memakan masa. Keberkesanan dasar yang digubal untuk mengekang monopoli pada hari ini hanya boleh dinilai dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, begitu juga usaha menambah baik pasaran buruh yang melibatkan gaji dan upah, dan ketidak padanan pekerjaan turut memakan masa.

Jadi secara rasionalnya, masih terlalu awal untuk kita menilai prestasi ekonomi di bawah kerajaan PH dalam masa setahun. Idealnya, kita boleh menilai kecekapan dan keberkesanan kerajaan PH di dalam memperbaiki struktur ekonomi Malaysia dalam tempoh lima tahun. Hal ini kerana dasar-dasar perubahan struktur ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan PH lebih terarah kepada penyelesaian makro.

Tetapi dalam masa sama, perancangan dan pemulihan aspek mikro tidak boleh dilupakan kerana rakyat akan lebih terkesan melalui pendekatan mikro. Bagi rakyat, mereka hanya prihatin kepada kos sara hidup. Mereka hanya ingin melihat situasi harga barang yang lebih rendah serta pendapatan yang lebih baik.

FOKUS PERANCANGAN MIKRO

Kerajaan digesa untuk lebih fokus kepada usaha-usaha yang lebih cepat dan efektif ke arah pembangunan ekonomi rakyat. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilaksanakan tetapi haruslah disertakan dengan iltizam yang tinggi daripada pihak-pihak berkenaan.

 

Contoh paling mudah untuk dilaksanakan adalah pemulihan dan pembangunan ekonomi peneroka Felda kerana Felda mempunyai peluang dan ruang luas untuk dimaksimumkan kerana kawasannya menjanjikan pasaran yang luas, sumber buruh terutama golongan wanita yang ramai dan ruang tanah yang luas.

Pengurusan Felda perlu mentransformasikan agensi itu menjadi pusat penjanaan pendapatan kepada peneroka dan negara, dengan menggunakan model perniagaan baharu, gugusan Felda berpotensi menjadi hub pengeluaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya pemprosesan makanan dan aktiviti perkhidmatan seperti pelancongan pendidikan dan perkhidmatan swasta.

Jika ini mampu dilaksanakan, kerajaan bukan sahaja mampu memperbaiki taraf hidup penduduk luar bandar dan golongan B40, malah agenda memperkasakan ekonomi bumiputera juga dapat direalisasikan tanpa perlu menunggu sebuah kertas putih disediakan untuk bergerak.