Cadangan kenaikan gaji anggota polis berpangkat rendah dikatakan mampu meningkatkan integriti pasukan polis. Ini adalah justifikasi yang kukuh kerana kajian yang dilakukan ke atas negara-negara lain jelas menunjukkan gaji yang tinggi boleh mengurangkan kadar rasuah.

Pada pandangan penulis, ada persoalan yang lebih penting yang perlu kita nilai iaitu sejauh manakah peningkatan gaji pasukan polis mampu mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan di Malaysia.

Untuk rekod, indeks jenayah di Malaysia lebih tinggi manakala indeks keselamatan pula lebih rendah berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura.

Di Malaysia, indeks jenayah adalah 60.8 berbanding 46.7 di Thailand dan 21.5 di Singapura manakala indeks keselamatan di Malaysia adalah 39.2 lebih rendah berbanding dengan Thailand 53.3 dan Singapura 78.5.

Berdasarkan perangkaan di antara 1993 sehingga 2003, jenayah harta benda mewakili lebih daripada 80 peratus keseluruhan jenayah yang direkod.

Dari sudut ekonomi, kajian-kajian yang lepas secara jelas menunjukkan kadar jenayah yang rendah dan tahap keselamatan yang tinggi akan mengalakkan pelaburan swasta yang seterusnya bakal memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi.

Pelabur akan bertambah yakin untuk mengembangkan ekonomi mereka di Malaysia jika negara ini lebih aman daripada jenayah.

Jika dinilai dari sudut perhubungan di antara kadar jenayah dan pertumbuhan ekonomi, maka keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji pasukan polis boleh dianggap sebagai pelaburan ke atas `keamanan’ ekonomi. Jadi pihak kerajaan perlu memastikan pelaburan ini adalah perbelanjaan yang efektif, iaitu memastikan kadar jenayah berkurangan selari dengan peningkatan gaji.

Sasaran kepada penggurangan kadar jenayah adalah penting kerana perbelanjaan ke atas pencegahan dan pengurusan jenayah adalah tinggi.

Di Amerika Syarikat umpamanya, kos jenayah kepada KDNK dianggarkan sekitar dua peratus. Jika peningkatan gaji dapat mengurangkan jenayah, ini bermakna kos pencegahan dan pengurusan jenayah akan berkurangan. Jadi, peningkatan gaji pasukan polis tidak akan membebankan kerajaan jika ianya dapat mengurangkan kos jenayah.

Tetapi kita juga perlu memahami bahawa kadar jenayah bukan hanya dipengaruhi oleh kadar dan struktur gaji pasukan polis. Tahap Pendidikan, kepatuhan kepada ajaran agama dan perundangan turut mempengaruhi kadar jenayah sesebuah negara. Malahan, turun naik ekonomi turut mempengaruhi kadar jenayah. Ini bermakna untuk mengurangkan kadar jenayah, perbelanjaan ke atas perkara-perkara bukan gaji turut perlu diberi perhatian.

Pada pandangan penulis, selain aspek pengajian, kerajaan juga perlu juga mempertimbangkan untuk meningkatkan saiz pasukan polis. Di Malaysia, terdapat 320 anggota polis bagi setiap 100,000 orang. Kadar ini lebih rendah berbanding Thailand dan Singapura iaitu 337 dan 713 anggota polis bagi setiap 100,000 orang.

Kita menyedari peranan besar yang dimainkan oleh pasukan polis dalam menjaga keamanan negara. Jika kedua-dua syor untuk meningkatkan gaji dan saiz anggota polis dilaksanakan, sudah pastilah ini akan meningkatkan perbelanjaan pengurusan kerajaan.

Di dalam konteks ekonomi semasa, kedua-dua syor ini berkemungkinan agak sukar untuk pihak kerajaan laksanakan dalam masa terdekat oleh sebab dua faktor utama.

Pertama, kadar hutang yang tinggi diwarisi daripada pemerintahan lepas memerlukan kepada perbelanjaan yang terpilih. Kedua, kedudukan sosioekonomi rakyat yang menekan menyebabkan kerajaan bukan sahaja perlu memikirkan kebajikan pasukan polis, tetapi juga pekerja-pekerja sektor awam lain yang turut memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan.

Pada masa ini, penilaian ke atas kedua-dua syor tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati. Kerajaan perlu lebih objektif di dalam memastikan setiap pertambahan perbelanjaan ke atas peningkatan gaji pasukan polis memberi impak positif kepada negara. Antara perkara-perkara yang perlu diperhalusi adalah seperti berikut:

 
  • Sejauh mana peningkatan gaji boleh mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan.
  • Sejauh mana kecekapan dan produktiviti pasukan polis meningkat selari dengan peningkatan gaji.
  • Sejauh mana pertambahan perbelanjaan ke atas gaji pasukan polis memberi pulangan ekonomi kepada negara dengan melihat kepada pengganda ekonomi.

Adakah wujud pilihan kaedah lain yang lebih jimat dan mampu mengurangkan kadar jenayah yang boleh dilaksanakan oleh PDRM?

  • PROF. MADYA. DR. MOHD. YUSOF SAARI ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia.