12 Dilantik Anggotai Majlis Penasihat Pertanian Negara | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» NEWS » 12 dilantik anggotai Majlis Penasihat Pertanian Negara

12 dilantik anggotai Majlis Penasihat Pertanian Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melantik 12 ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) yang terdiri daripada 10 ahli tetap dan 2 ahli bersama bagi sesi 2020-2021.

Menurut kementerian itu dalam kenyataan, mereka yang dilantik menerima surat pelantikan daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee semasa mesyuarat pra-majlis MPPN di Wisma Tani Putrajaya hari ini.

Mereka yang dilantik sebagai ahli tetap ialah Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Dr Jeffrey Cheah, Prof Fatima Mohamed Arshad, Francis Lau Tuang Nguang dan Dr Irmohizam Ibrahim.

Lima lagi individu yang dilantik ke jawatan tersebut ialah Prof Dr Mad Nasir Shamsudin, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Prof Dr Suhaimi Napis, Prof Dr Sivamurugan Pandian serta Prof Dr M Niaz Asadullah.

 
 
 

Sementara Dr Yasmin B H Ooi dan Raghu Loganathan Pillai merupakan 2 individu yang dilantik sebagai ahli bersama.

Menurut kementerian itu, individu terbabit bertindak sebagai badan penasihat tertinggi kepada Kiandee dalam mengenal pasti isu berkaitan sekuriti makanan serta sektor pertanian dan industri makanan, langkah intervensi yang sesuai serta mencadangkan hala tuju baru sektor tersebut mengikut perkembangan dan keperluan semasa secara menyeluruh serta holistik.

“MPPN ini juga akan bertindak sebagai pelengkap kepada strategi yang didukung oleh kementerian agar lebih efisien dan produktif,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, beberapa pendekatan baru akan diperkenalkan bagi meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan MPPN.

 

Antaranya, Kiandee sendiri akan mempengerusikan majlis itu untuk terlibat secara langsung bersama pakar serta pemain dalam sektor pertanian dan industri makanan.

Jelasnya, ia bertujuan membawa perubahan dasar bagi memanfaatkan golongan petani, nelayan dan penternak serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara secara keseluruhannya.

Pada masa sama, nama MPPN akan dipinda kepada “Majlis Penasihat Pertanian dan Industri Makanan Negara” berdasarkan skop baru kementerian tersebut yang turut merangkumi industri makanan, kata kenyataan itu lagi.

 

Date of Input: 26/06/2020 | Updated: 26/06/2020 | zbaizura

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691075
0389432611
C1600793153