Ubah Landskap Ekonomi | Institute of Agricultural and Food Policy Studies
» NEWS » Ubah landskap ekonomi

Ubah landskap ekonomi

PANDEMIK Covid-19 dijangka merubah landskap ekonomi negara, kata Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari.

Menurutnya, perubahan ketara dijangka berlaku di beberapa bidang, pasca Covid-19.

"Kita dapat melihat peningkatan ekonomi digital terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

 

"Kadar penyertaan aktiviti ekonomi bersifat maya yang menggunakan aplikasi digital akan meningkat. Jadi, keseimbangan permintaan dan penawaran akan berlaku secara maya.

"Situasi ini dijangka menguntungkan penjual kerana kurang kebergantungan kepada khidmat orang tengah yang bertindak sebagai pemborong dan peruncit," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, tempoh PKP yang dilanjutkan juga memberi ruang untuk menilai keberkesanan bekerja dari rumah.

"Ini memungkinkan perniagaan 'mengurangkan' ruang perniagaan dan pastinya menjimatkan kos kerana lebih ramai pekerja bebas (freelancer) dijangka wujud.

"Bagaimana pula dengan kebajikan pekerja di bawah sistem pasaran buruh yang fleksibel ini? Adakah sistem sebegini memberi lebih pendapatan kepada pekerja?" katanya.

Mohd Yusof berkata, peningkatan penggunaan aplikasi digital juga bermakna peningkatan penggunaan tenaga elektrik.

Beliau berkata, penghantaran barangan kepada pengguna akan meningkatkan penggunaan bahan api dan juga menyumbang kepada pencemaran karbon.

"Kemungkinan orang ramai kurang bergantung kepada perkhidmatan awam," katanya.

Selain ekonomi, beliau berkata, pasca Covid-19 merubah sistem pendidikan tinggi berikutan PKP memberi ruang kepada pengajaran dan pembelajaran secara maya.

"Jika ini boleh dilakukan, ia pasti akan menjimatkan kos operasi institusi pengajian tinggi kerana kita tidak lagi memerlukan dewan kuliah yang besar dalam kuantiti yang banyak.

"Ini menyebabkan yuran pengajian juga sepatutnya lebih murah kerana penjimatan dalam kos operasi.

"Hakikatnya, adakah kita bersedia untuk mendepani corak amalan dan gelagat ekonomi pasca Covid-19 dan perubahan yang dibawanya? Ini memberi ruang dan peluang untuk kita manfaatkan sepenuhnya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 7:37 AM. My Metro

Date of Input: 07/05/2020 | Updated: 07/05/2020 | zbaizura

MEDIA SHARING

Institute of Agricultural and Food Policy Studies
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691075
0389432611
C1600794396